Search
Close this search box.
Satelit UzmaSAT-1 jadi ‘pemantau bumi’

PETALING JAYA: Satelit UzmaSAT-1 yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini, berupaya membawa perubahan besar dalam membantu memperkasakan lagi sektor sekuriti makanan, keselamatan dan pertahanan negara.

Pembangunan satelit yang dipelopori syarikat tempatan, Geospatial AI Sdn Bhd (Geospatial AI) iaitu anak syarikat Kumpulan Uzma hasil kerjasama dengan syarikat dari Argentina, Satellogic, adalah yang pertama seumpamanya, akan dilancarkan pada Oktober atau November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Geospatial AI, Mohammad Fadhli Jamaluddin, berkata satelit yang dilengkapi dengan teknologi terkini itu berupaya melakukan cerapan dengan lebih terperinci, lantas berupaya menjana data yang jauh lebih tepat.

Beliau berkata satelit dengan berat 45.4 kilogram (kg) atau saiz dan bentuknya mirip peti sejuk mini itu boleh dimanfaatkan untuk mencerap antaranya perkembangan hasil pertanian, memantau sempadan dan memantau aktiviti haram.

Tambahnya antara kelebihan lain UzmaSAT-1 adalah boleh menentu ukur sensor mengikut perubahan iklim dan latitud kawasan tertentu, sekali gus data lebih terperinci diperoleh.

“Ia adalah satelit submeter iaitu memiliki resolusi bawah satu meter atau lebih tepat 50 sentimeter (cm) per piksel. UzmaSAT-1 juga adalah satelit pemantau bumi yang turut dilengkapi dengan sensor optikal.

“Dengan sensor beresolusi tinggi itu, hasil cerapan satelit berkenaan boleh mendapat data permukaan bumi. Misalnya data membabitkan tahap kesihatan pokok menerusi hasil pantulan klorofil. Ia boleh digunakan untuk keselamatan makanan. Untuk keselamatan makanan, satelit ini boleh digunakan untuk memantau tanaman padi misalnya setiap tiga hari, untuk tengok di mana kawasan padi tengah tumbuh membesar, termasuk memantau pengairan supaya lebih baik.”

“Maksudnya, dengan UzmaSAT-1 kita boleh memantau aspek pertanian, memantau aktiviti di sempadan, perlombongan haram, penempatan haram, kampung haram dan pelbagai lagi. Jadi ia senang untuk lakukan pemantauan dan tak perlu lagi untuk terbangkan dron,” katanya kepada NSTP hari ini.

Mengenai pembangunan UzmaSAT-1, Mohammad Fadhli berkata projek itu bermula lima tahun lalu apabila beberapa jurutera syarikat dihantar ke luar negara untuk terlibat sama dalam pembangunan satelit berkenaan.

Katanya langkah itu bagi memastikan kelangsungan dalam pembangunan bakat bidang pembangunan teknologi angkasa, seiring dengan inisiatif kerajaan menerusi Dasar Angkasa Negara 2030.

Untuk melancarkan satelit berkenaan, beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan syarikat SpaceX yang dimiliki oleh jutawan teknologi, Elon Musk.

Mengikut perancangan, beliau berkata satelit berkenaan nanti akan dilancarkan di Florida, Amerika Syarikat (AS).

“Kita sudah mulakan projek ini sejak lima tahun lalu. Sebenarnya ada dua benda kita bangunkan UzmaSAT-1 merangkumi cerapan data dan penting sekali buat satelit ini adalah pendigitalisasian bumi.

“Yang mana pendigitalisasian bumi ini kita akan gunakan untuk menjana data, buat analisis dalam bentuk laporan. Maksudnya, kita boleh memperoleh data yang lebih terperinci dan bidang atau program yang kita kehendaki,” katanya.

Difahamkan UzmaSAT-1 yang bakal dilancarkan nanti akan berada di ruang angkasa bersama 48 satelit lain.

Ini menjadikan UzmaSAT-1 satelit resolusi tinggi yang berfungsi sebagai ‘pemantau bumi’ selepas RazakSAT yang pernah dimiliki oleh kerajaan Malaysia sejak 12 tahun lalu.

Model Satelit UzmaSAT-1 yang dijangka dilancarkan pada Oktober atau November ini - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Model Satelit UzmaSAT-1 yang dijangka dilancarkan pada Oktober atau November ini
– Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

INFO UzmaSAT-1

  • Berat: 45.4 kg
  • Dimensi: 508 mm X 575 mm X 813 mm
  • Purata altitud operasi : 460 km- 525 km
  • Pemaju: Geospatial AI Sdn Bhd
  • Jangkaan dilancarkan : Oktober atau November ini
  • Resolusi: 50 sentimeter per piksel
  • Keupayaan: Pemantauan hasil tani, keselamatan, sempadan dan aktiviti haram

CIRI LANJUTAN

  1. Resolusi temporal, spatial yang tinggi.
  2. Kependaman rendah untuk tindak balas pantas.
  3. Ketepatan tropikal
  4. Pemangkin data raya

Sumber: Berita Harian Online, BH Online | 13 Ogos 2024
Oleh Wartawan Fahmy A. Rosli

Share the Post:

Related Posts

Looking for Answers to Your Industry Issues?
If you want us to share more about space technology, EUDR, EO satellite applications, and industry related, feel free to drop your contact here!